33 Ahli PNK Daerah Limbang Terima Sumbangan Alat Timbang Dan Tong Ikan

AHAD, 19 SEPTEMBER 2021

LIMBANG: Sejak penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020, banyak program bersama rakyat tidak dapat dilaksanakan.

Timbalan Menteri II Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata keadaan mula berubah sedikit demi sedikit selepas kejayaan program vaksinasi COVID-19 dan hari ini telah diadakan penyerahan peralatan ikan kepada Ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Limbang.

“Saya ada menerima surat daripada PNK Limbang yang memohon peralatan alat timbang dan tong ikan. Ini disebabkan kebanyakan peralatan tersebut rosak.

“Di sini, saya telah meluluskan 33 orang ahli PNK yang akan menerima peralatan ini. 

“Saya berharap apa yang disumbangkan pada hari ini dapat digunakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh semua peniaga ikan yang terlibat,” katanya dalam ucapan ringkas dalam Program Penyerahan Sumbangan Peralatan Kepada Ahli PNK Limbang di Pusat Pembangunan Komuniti Melayu Limbang pada Sabtu. 

Seramai 33 orang peniaga ikan yang terdiri daripada ahli PNK Limbang menerima alat timbang dan tong ikan yang berjumlah RM20,700. 

Beliau turut mengingatkan semua peniaga ikan agar menggunakan kemudahan meja ikan yang disediakan Majlis Daerah Limbang (MDL) untuk kegunaan sendiri dan jangan dibiarkan kosong atau disewakan kepada orang lain.

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang juga menggesa peniaga-peniaga ikan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kawasan berniaga. 

“Jangan benarkan pelanggan memegang ikan yang dijual kerana kita tidak tahu tahap kesihatan mereka. Sebaiknya mereka hanya dibenarkan menunjuk ikan-ikan yang hendak dibeli dan peniaga yang akan memasukan ikan yang dipilih pelanggan ke dalam plastik. 

“Dalam keadaan sekarang sama-samalah kita membantu mengawal penularan wabak COVID-19 di Daerah Limbang dan pastinya kita juga tidak mahu ada kluster pasar ikan pula selepas ini. Jadi perkara ini bukan main-main memerlukan kerjasama kita semua.

“Sentiasalah berwaspada dan menjaga pergaulan serta SOP dengan orang ramai khususnya dengan pelanggan-pelanggan,” ujarnya. 

Sementara itu, peniaga-peniaga ikan yang ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Limbang di atas keprihatinannya memberikan bantuan ini bagi melancarkan perniagaan mereka.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah, Pengurus PNK Daerah Limbang Winnie Sendi Douglas Bian, Pengrusi PNK Daerah Limbang Tambi Untong dan Pengerusi Persatuan Peniaga Ikan Limbang Diman Tamit.-EDISI UKAS