ADUN Stakan Serah ‘Outright Grant’ Berjumlah RM92,370

AHAD, 19 SEPTEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Semua penerima geran di kawasan Stakan diminta untuk menggunakan peruntukan yang diluluskan dengan tujuan yang betul mengikut tujuan permohonan yang dilakukan sebelum itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud berkata, geran yang diterima perlu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Berucap ringkas semasa majlis penyampaian cek ‘Outright Grant’ (OG) DUN Stakan di Pusat Khidmat ADUN Stakan pada Sabtu, beliau memberitahu, sebanyak 14 jawatankuasa menerima peruntukan sebanyak RM92,370.

Katanya, semua penerima terbabit harus menggunakan peruntukan dengan menjalankan aktiviti dan bukannya digunakan untuk tujuan peribadi.

Antara yang menerima cek itu ialah JKKK Sri Arjuna, JKKK Quop Dayak, JKKK Jawa Semenggok, JKKK Pengkalan Kuap, JKKK Sidanu, JKKK Kampung Merdang Gayam, Jawatankuasa Masjid Darul Iman Sri Arjuna, Jawatankuasa Masjid Darul Ehsan Jawa Semenggok, Jawatankuasa Surau Darul Malihah Bukit Berangan.

Seterusnya, Jawatankuasa Surau Darul Al Baqarah Jawa Semenggok, Jawatankuasa Surau Darul Taqwa Sri Arjuna, Jawatankuasa St James Parish Kampung Quop Dayak, Kelab Kebudayaan Seni dan Sukan DUN N.17 Stakan dan Kelab Polis IPD Kota Samarahan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohd Ainnie Wahab dan Pemanca Bahagian Samarahan, Seli Hasan. -EDISI UKAS