Pelbagai Aktiviti Meriahkan Program Ziarah UKAS Di Pulau Bruit

AHAD, 19 SEPTEMBER 2021

SEMOP: Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan Program Ziarah UKAS, Semarak Kemerdekaan di Pulau Bruit, Daro pada Ahad.

Program anjuran bersama SABERKAS Cawangan Semop dan Hospital Daro itu melibatkan 10 buah kampung iaitu Kampung Semop, Kampung Saai, Kampung Kut, Kampung Penuai, Kampung Penibong, Kampung Betanak, Kampung Salah Kecil, Kampung Penipah, Kampung Tekajong dan Kampung Bruit.

Ia dimulakan dengan penyampaian Jalur Gemilang dan bendera Sarawak serta pelitup muka UKAS kepada pihak KMKK bersama JKKK yang dilakukan secara bergerak dari kampung ke kampung.

Selain itu, turut diadakan kempen derma darah di Dewan Kampung Tekajong dengan penyertaan seramai 25 orang penderma.

Setiap penderma menerima beras 10 kg sumbangan pihak Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daro. – EDISI UKAS