13 JKKK Kawasan DUN Mulu Terima Geran MRP Berjumlah RM303,000

ISNIN, 20 SEPTEMBER 2021

MARUDI: Seramai 13 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah menerima cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM303,000.

Dalam ucapan ringkasnya, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala berkata, beliau sentiasa mengambil kira setiap permohonan yang telah diajukan rumah panjang dan persatuan di kawasan DUN Mulu. 

“Jumlah peruntukan geran adalah berbeza di antara satu sama lain disebabkan ianya bergantung kepada keperluan dan juga lokasi permohonan. 

“Antara faktor yang menyebabkan perbezaannya ialah kos pengangkutan yang agak tinggi. 

“Justeru, setiap tuai rumah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (KMKK) memaklumkan kepada setiap anak-anak buah mereka bagi mengelakkan kekeliruan dan sumbangan ini datangnya dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam Majlis Penyerahan Geran MRP DUN Mulu di Pusat Khidmat DUN Mulu pada Sabtu.

Antara yang hadir ialah Pemanca Randie Bundan, Penghulu Hilary Tawan Acai, Ahli Majlis Daerah Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau dan Tuai-tuai Rumah Kawasan Puyut Lubuk Nibong. -EDISI UKAS