Pelan Pemulihan Pelancongan Dibangunkan Cari Keseimbangan Antara Kepentingan Ekonomi & Kesihatan Awam

ISNIN, 20 SEPTEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) telah dibangunkan bagi mencari keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan kesihatan awam.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, PPP merupakan salah satu usaha berterusan kementerian dalam mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan.

Menurut beliau, pelan pemulihan tersebut juga ke arah memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan selepas pembukaan sektor ini secara berperingkat kelak.

“Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan bermula 16 September lepas.

“Sekiranya berjaya, lebih banyak gelembung pelancongan yang berpotensi akan diteruskan ke destinasi-destinasi peranginan lain seluruh negara seperti Pulau Redang, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan destinasi-destinasi pelancongan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Nancy memberitahu, anggaran kerugian daripada pendapatan pelancongan pada tahun 2020 adalah sebanyak RM135 bilion.

Tambahnya, jumlah tersebut dianggar terus meningkat pada tahun 2021, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih diteruskan.

“Namun, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan kepayahan penggiat industri pelancongan melalui pakej-pakej ransangan ekonomi yang telah diumumkan seperti PEMERKASA dan PEMULIH.

“Antaranya ialah Geran Bantuan Khas Secara One-Off kepada penggiat-penggiat industri seperti syarikat pengendalian pelancongan berlesen dengan MOTAC, ejen MM2H, pemandu pelancong, pengendali inap desa di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia MOTAC serta pengusaha Spa dan Pusat Urutan Kaki yang berdaftar dengan MOTAC,” katanya. -EDISI UKAS