Program Vaksinasi Daerah Lawas Melebihi 90 Peratus, Kawalan Pintu Masuk Diperketatkan

ISNIN, 20 SEPTEMBER 2021

LAWAS: Proses vaksinasi COVID-19 di Daerah Lawas bagi golongan dewasa dan remaja melebihi 90 peratus.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah ini merupakan pencapaian yang membanggakan hasil daripada kerjasama semua pihak untuk pastikan masyarakat di Daerah Lawas mencapat vaksinasi. 

“Dari segi pencapaian program vaksinasi untuk dewasa, dos yang pertama telah mencapai 93.8% dan dos yang kedua 94.9% daripada jumlah yang layak yang dianggarkan 32,000 orang. 

“Manakala, program vaksinasi remaja pencapaian kita pada 10 hingga 12 September 2021 untuk dos pertama berumur 16 tahun adalah 93.7% daripada jumlah 496 orang. Dan, bagi mereka yang berumur 17 tahun pula 97.3% daripada jumlah 505 orang. 

“Jadi, jika kita campur semua remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun, kita telah pun mencapai 95.5 peratus iaitu 1,001 orang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lawas pada Sabtu. 

Ujar Datuk Amar Awang Tengah lagi, bagi masyarakat yang belum ada kesempatan mendapatkan vaksinasi termasuk golongan remaja boleh datang terus ke Hospital Lawas atau melalui Program Vaksinasi Outreach. 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut memberitahu pembukaan COVID-19 Assesment Center yang berpusat di Stadium Tertutup Lawas yang dibuka dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang. 

“Ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) termasuk bagi mereka yang dikuarantin di rumah khususnya untuk kategori satu dan dua.

“Sekiranya kondisi di rumah tidak sesuai, mereka yang positif akan dikuarantin di PKRC,” ujarnya. 

Dalam pada itu, susulan daripada peningkatan kes COVID-19 di Bahagian Limbang, Datuk Amar Awang Tengah turut meminta Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) memperketatkan kawalan di sempadan pintu masuk ke Lawas dan Limbang khususnya kemasukan pekerja asing dari Miri dan Sabah. 

“Saya telah pun meminta CIQ untuk terus diperketatkan terutamanya mereka yang bekerja sebagai pengangkut barang yang dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dengan hanya yang ada vaksinasi penuh saja dibenarkan melintasi sempadan. 

“Bagi mereka yang tidak lengkap vaksinasi tidak akan dibenarkan masuk dan kita juga diadakan survilen checking secara random di Lapangan Terbang Lawas untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau turut mengingatkan masyarakat di Daerah Lawas supaya tidak mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila sektor ekonomi mula dibuka ketika ini dalam usaha mengekang penularan COVID-19. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas  Ladin Atok, Pegawai Kesihatan Daerah Lawas Dr Farida Nazahiya Mohd Salleh, Pengarah Hospital Daerah Lawas  Dr Ahmad Syahir dan Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS