Kerajaan Sarawak Iktiraf Dan Pertahan Tanah NCR Rakyat Yang Sahih Ikut Perundangan

SELASA, 21 SEPTEMBER 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah hak adat bumiputera (NCR) mereka jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sebanyak 46,346 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 55,970 hektar atau 138,305 ekar.

Menurutnya, semua telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Selagi kerajaan kita kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita akan terus mempertahankan hak dan kepentingan rakyat termasuk hal lebih-lebih lagi soal tanah NCR jika tuntuntan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.

“Bagi kes-kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telah pun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.

“Namun begitu,sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini semula, permohonan baharu perlulah dikemukakan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di sini pada Isnin.

Dalam majlis tersebut, sebanyak sebanyak 270 surat hak milik diserahkan melibatkan 183 penerima dengan keluasan tanah seluas 227.3 hektar.

Hadir sama, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, ADUN Lambir, Ripin Lamat dan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Yusuf.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dari tahun 2010 hingga kini Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 999,853 hektar atau 2.47juta ekar.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut seluas 776,226 hektar atau 1.9 juta ekar telah pun diwartakan.

“Bukan sahaja tanah NCR, banyak orang cakap hal ‘Pulau Galau’ dan sebagainya tetapi mahkamah telah buat keputusan penuntut terbabit tidak ada hak terhadap tanah, ‘Pulau Galau’ ini untuk kemudahan kemudahan domestik untuk membuat rumah, buat perahu, berburu dan mencari hasil hutan. Tetapi tidak ada hak terhadap tanah dan ini adalah keputusan mahkamah.

“Namun, kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datu Abang Openg, beliau mahu membantu rakyat, maka Kerajaan meminda Kanun Tanah Negeri baru-baru ini dengan memberi kuasa perundangan kepada Native Territorial Domain (NTD) untuk memastikan semua tanah yang mempunyai hak adat Bumiputera dan tanah-tanah yang terlibat dengan ‘usufructuary right’ (hak mengguna pakai) diiktiraf.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat bumiputera, kalau mereka memenuhi kriteria-kriteria yangtelah ditetapkan dalam NTD ini, mereka akan diberi perhatian dan pertimbangan,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima surat hak milik tanah yang ditemui, Khadijah Karim dari Kampung Bakam merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di atas penerimaan dokumen tanah milik mereka. -EDISI UKAS