SELASA, 21 SEPTEMBER 2021
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) digesa untuk mengambil tindakan pantas berikutan masalah capaian internet di kawasan luar bandar di Sarawak.
Demikian tegas Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dalam ucapan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ini kerana tegasnya, terdapat tiga pelajar di Kampung Sawai, Matu yang tular di media sosial apabila terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) di dalam bot di Sungai Sawai, dalam keadaan hujan lebat untuk mendapatkan liputan internet.
Tambah beliau, kemudahan capaian internet sudah menjadi satu keperluan utama dalam menjalankan aktiviti dan kehidupan seharian terutama sekali ketika pandemik COVID-19 melanda negara semenjak tahun 2020.
“Malangnya liputan internet terutama di luar bandar di Sarawak, termasuk di kawasan Igan, masih lagi mendukacitakan, malah isu liputan internet yang lemah bukan perkara baharu di kawasan saya.
“Ia menjadi rungutan harian di kalangan usahawan online, guru-guru dan pelajar yang terlibat dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR),” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembinaan menara telekomunikasi sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah liputan internet jika syarikat telekomunikasi enggan menyediakan perkhidmatan.
Beliau turut berharap agar isu tersebut ditangani bersama oleh pihak KKMM dan Syarikat Telco yang sepatutnya menyediakan perkhidmatan bagi memudahkan rakyat di kawasan Parlimen Igan khususnya. -EDISI UKAS