Peningkatan Kes Positif COVID-19 Di Bahagian Limbang Membimbangkan, JPBB Limbang Buka CAC

SELASA, 21 SEPTEMBER 2021

LIMBANG: Sejak akhir Ogos hingga hari ini, purata kes positif COVID-19 di Bahagian Limbang meningkat di antara 30 hingga 40 kes setiap hari. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peningkatan ini berpunca daripada penularan varian Delta dan sikap masyarakat terhadap COVID-19 itu sendiri. 

“Kadar vaksinasi kita pada masa ini sudah tinggi di kalangan mereka yang layak berumur 18 tahun ke atas tetapi ada segelintir masyarakat kita yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kita sekarang ini sudah berada dalam fasa yang ketiga di mana semakin banyak sektor dibenarkan kembali dibuka termasuklah sektor ekonomi dengan secara berperingkat-peringkat dan kegiatan-kegiatan sosial yang lain.

“Sikap masyarakat sebegini telah menyebabkan ketidakpatuhan kepada SOP dan akibatnya virus ini merebak apatah lagi dengan varian Delta ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyerahkan Komputer “Raspberry PI” Sekolah-Sekolah Rendah di Daerah Limbang pada Ahad. 

Ujarnya lagi, lebih 90 peratus kes positif COVID-19 yang direkodkan di Bahagian Limbang ialah Kategori 1 dan 2.

Ketika ini sebanyak 3 kawasan di Daerah Limbang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 4 kluster masih aktif. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut memaklumkan pembukaan Pusat Penilaian COVID-19 atau COVID-19 Assessment Center (CAC) untuk menangani peningkatan kes di  Daerah Limbang.

“Pusat ini telah pun beroperasi di Stadium Tertutup Limbang bermula 9 September 2021 dan waktu beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang termasuk hujung minggu dan cuti umum. 

“Ianya bertujuan untuk kita monitor mereka yang dikuarantin di rumah tetapi tidak mempunyai gejala dalam kategori 1 dan 2A. 

“Sekiranya mereka ini perlu dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), yang dikuarantin di rumah ini kita akan dipindahkan mereka ke PKRC,” katanya. 

Sehingga kini Daerah Limbang telah mencapai 91.7 peratus dos pertama atau 31,053 orang dan dos kedua 90.7 peratus atau 30,686 orang bagi golongan yang berumur 18 tahun ke atas. 

Manakala, bagi mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun yang  bersekolah telah divaksin seramai 1,408 orang atau 95.1 peratus dan ditambah dengan mereka yang tidak bersekolah menjadikan jumlah keseluruhan 99.7 peratus atau 1,515 orang. 

Terdahulu, pada sebelah pagi beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Bahagian Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya dan mendengar taklimat berkenaan laporan terkini perkembangan kes COVID-19 Daerah Limbang dan perkembangan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) Bahagian Limbang setakat 18 September 2021.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, esiden Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Mat Zinan Wahit, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Husini Bakir dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Limbang Said Matzin.-EDISI UKAS