ADUN Tellian Sumbang 25 Unit Oximeter Kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah

RABU, 22 SEPTEMBER 2021

MUKAH : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo telah menyumbangkan sebanyak 25 unit peranti perubatan Oximeter dan diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah pada Selasa.

Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr Huzaimah Husin memberitahu, pihak jabatan kesihatan akan meminjamkan Oximeter kepada mereka yang diarahkan kuarantin di rumah untuk memantau tahap serta kandungan oksigen bagi pengesanan kontak rapat.

Tambah beliau lagi, pemantauan dilaksanakan secara harian oleh pasukan kesihatan kepada semua kontak rapat yang dikuarantin selain melalui panggilan telefon.

“Bacaan oksigen penting untuk diketahui khususnya dikalangan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Melalui pemantauan harian tersebut, pengesanan awal gejala teruk dapat dilakukan dan akan dirujuk ke peringkat seterusnya,” jelas beliau semasa sidang media Majlis Penyerahan 25 unit Oximeter di Pejabat Daerah Mukah pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Mukah, Kaunselor Jay Keram mewakili Lembaga Pelawat Hospital mengucapkan terima kasih kepada Yussibnoh Balo di atas keprihatinan beliau dalam menyalurkan sumbangan tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan di atas tanggungjawab serta komitmen mereka membantu dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Turut hadir Pegawai Daerah Mukah, Shafrie Saili dan Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Tellian, Kaunselor Felix Pieng.-EDISI UKAS