Pertubuhan Peladang Kawasan Kalaka Beli Lambakan Hasil Pertanian

KHAMIS, 23 SEPTEMBER 2021

KABONG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalaka telah membeli hasil tanaman para pekebun yang tidak dapat dipasarkan akibat terkesan dengan pandemik COVID-19.

Pengurus Besar PPK Kalaka, Japar Amin telah menyerahkan 1,500 kilogram buah nanas MD2 dan 2,409 kilogram buah tembikai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir di Pusat Khidmat ADUN Kabong. 

Program Pembelian Lambakan Nanas dan Buah Tembikai ini dilaksanakan bagi membantu pekebun-pekebun yang mengalami lambakan dengan menjual hasil tanaman mereka.

Seterusnya, buah nanas dan buah tembikai ini diagihkan kepada penduduk sekitar.

Sementara itu, ADUN Kabong itu juga turut melakukan simbolik penyerahan wang zakat kepada 10 orang ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Kalaka.

Difahamkan, seramai 64 orang ahli PPK Kalaka layak menerima zakat ini.-EDISI UKAS