KM Rasmi Projek Naik Taraf Fasa 1 Masjid At-Taqwa Miri

JUMAAT, 24 SEPTEMBER 2021

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari telah merasmikan Projek Naik Taraf Fasa 1 Masjid At-Taqwa Miri, Jalan Merpati pada Jumaat. 

Masjid ini mula didirikan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri pada 10 Oktober 1983 dan siap pada pada 1 Ogos 1985. 

Disebabkan pada waktu itu, Masjid Miri tidak dapat menampung jemaah yang semakin bertambah, Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri merancang membina sebuah masjid baru. 

Cadangan pembinaan masjid baru itu telah dikemukakan kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub dan dipersetujui dibina di sebidang tanah di Jalan Merpati. 

Pada tahun 1982, cadangan itu seterusnya dikemukakan kepada bekas Ketua Menteri Sarawak yang juga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan bersetuju menjadi penaungnya.

Sementara itu, kerja-kerja Menaik Taraf Masjid At-Taqwa Fasa Pertama ini telah dimulakan pada September 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM9 juta sumbangan Kerajaan Sarawak dan siap sepenuhnya pada September 2020. 

Naik taraf ini meliputi Projek Renovasi Dataran Buruj dan Kubah, tandas baharu dan dalaman masjid. 

Akibat penularan wabak pandemik COVID-19, masjid ini telah ditutup selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dibuka semula serta digunakan pada 25 Mac 2021. 

Pada majlis perasmian itu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah memukul beduk sebagai tanda perasmian Projek Naik Taraf Fasa 1 Masjid At-Taqwa Miri dan menandatangani plak perasmian serta penyampaian cenderamata. 

Selepas itu, beliau bersama tetamu yang hadir dan penduduk Miri menunaikan solat Jumaat mengikut Prosesur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU yang juga Menteri Muda Utiliti Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosioekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Haji Taha, Pengerusi Jawatankuasa Masjid At-Taqwa Miri Hamzah Dadu, Ketua-ketua Jabatan dan tetamu-tetamu jemputan yang lain.-EDISI UKAS