Penduduk Pusa Digesa Beri Kerjasama Tangani Penularan COVID-19

JUMAAT, 24 SEPTEMBER 2021

PUSA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor menggesa penduduk di kawasannya dan Pusa memberikan kerjasama bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Menurut Razaili dalam kenyataannya pada Jumaat, situasi wabak itu di Pusa semakin membimbangkan dengan peningkatan jumlah kes positif selain telah mencatatkan 14 kematian setakat Jumaat.

Tegasnya, jumlah kes di Kampung Pusa dijangka bertambah dari masa ke semasa dan semakin kritikal jika penduduk kampung tidak bertanggungjawab dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menuntut kerjasama semua kontek rapat penduduk di Pusa untuk datang ke Klinik Kesihatan Pusa bagi menjalani ujian saringan COVID-19 secara sukarela supaya status kesihatan mereka dapat dipasti dan mereka yang positif dapat dikesan dengan segera.

Jelas beliau, langkah itu bagi memudahkan tindakan susulan dilaksanakan secara berkesan.

“Kita tidak mahu pembawa Covid-19 yang tidak dikesan bergerak bebas dan menjangkiti orang lain.

“Orang ramai diminta elak bergaul bebas, berkumpul tanpa tujuan. Minta jaga dan patuhi SOP iaitu jaga kebersihan diri, pakai tutup muka dan amalkan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam masa yang sama, Razaili turut menyeru kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Tuai Rumah untuk menasihati penduduk di kampung dan rumah panjang berikutan kes Kematian Di Rumah atau BID dan kes positif agak tinggi di Pusa.

Bagi yang mempunyai gejala, Razaili menasihati mereka untuk segera pergi ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. – EDISI UKAS