JUMAAT, 24 SEPTEMBER 2021
MIRI: Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) bagi remaja yang berumur 12 hingga 15 tahun di Bahagian Miri akan bermula serentak Sabtu ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Khamis berkata, keputusan ini diambil selepas Mesyuarat JPBB Miri yang dipengerusikan Menteri Bertanggungjawab Datuk Lee Kim Shin hasil perbincangan dan persetujuan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri, Subis dan Baram bersama-sama dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri yang diadakan pada Rabu dan Khamis.
“Pemberian suntikan vaksin COVID-19 bagi remaja yang berumur 12 hingga 15 tahun ini akan diberikan di kesemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di semua daerah dalam Bahagian Miri dan juga PPV Klinik Kesihatan yang ditetapkan.
“Manakala, bagi sekolah di kawasan pedalaman pula vaksinasi akan dibuat di PPV Klinik Kesihatan yang telah ditentukan dan akan dimaklumkan kemudian.
“Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga perlu menemani anak-anak mereka yang akan menerima suntikan vaksin di samping perlu membawa bersama-sama Borang Persetujuan yang telah ditandatangani,” katanya.
Sementara itu, bagi remaja yang tidak bersekolah lagi dan berumur 12 hingga 15 tahun boleh mendapatkan vaksinasi secara walk-in di mana-mana PPV Awam kecuali kawasan-kawasan pedalaman.
“Ketua Masyarakat dann Ketua Kampung (KMKK) Tuai Rumah dan Kapitan adalah diminta untuk mengenal pasti anak-anak di kawasan masing-masing yang berumur 12 hingga 15 dan sudah tidak bersekolah dan selanjutnya memberikan maklumat tersebut melalui borang yang telah disediakan kepada pejabat daerah masing-masing untuk tujuan diselaraskan program imunisasi COVID-19,” tambah kenyataan itu lagi.-EDISI UKAS