SABTU, 25 SEPTEMBER 2021
MIRI: DAL HCM Sdn Bhd (DHSB) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaik taraf ruang tempat letak kereta Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Desa Senadin.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, naik taraf ini memberikan keselesaan kepada jemaah setiap kali menunaikan solat.
“Tempat parkir kenderaan masjid yang baru dinaik taraf ini boleh memuatkan sehingga 100 kenderaan dengan kos projek dianggarkan bernilai RM150,000.
“Ini merupakan permohonan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Abu Bakar pada tahun lepas.
“Saya telah meminta Jurutera JKR Bahagian Miri bekerjasama dengan DAL HCM Sdn Bhd (DHSB) dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Abu Bakar mengenai kos projek tersebut dan berjanji membantu menyiapkan projek ini sebelum hujung tahun ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan dan merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Tahun 2021 DAL HCM Sdn Bhd (DHSB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Desa Senadin pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Abu Bakar As-Siddiq Mohammad Fariduddeen Rosli memberitahu status masjid itu baharu sahaja dinaikan pada 1 Julai 2020 bagi menampung populasi umat Islam yang semakin meningkat di kawasan ini.
“Projek menaik taraf dan mengubah suai masjid ini telah dimulakan pada 18 Jun tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 15 Mac 2021 dengan kos sebanyak RM650,000 sumbangan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Dalam lawatan itu, Datuk Lee telah menyerahkan geran peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Abu Bakar untuk tujuan aktiviti tahunan.
Turut sama CEO DAL HCM Sdn Bhd Datuk Dzulkarnaen Ahmad, Pengurus Besar DAL HCM Sdn Bhd Sani Zamshuri Bujang, Pengurus Asset JKR Sarawak Ir. Richard Tajan, AD RCEA JKR Sarawak Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan dan Jurutera JKR Bahagian Miri Chong Chi Fam.-EDISI UKAS