SABTU, 25 SEPTEMBER 2021
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan remaja di negeri ini lengkap menerima vaksin COVID-19 sebelum 31 Oktober 2021.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, setakat Jumaat, seramai 75, 162 orang atau 78 peratus remaja berumur 16 tahun hingga 17 tahun telah divaksinasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu menambah, bagi yang berumur 12 tahun hingga 15 tahun pula, seramai 8, 320 telah divaksin.
“Kita ucap terima kasih kepada semua yang sama-sama membantu, pengurusan sekolah dan sebagainya, Jabatan Perubatan dan petugas barisan hadapan.
“Kita juga merayu kepada ibu bapa mesti bawa anak dia untuk dapatkan vaskinasi kerana vaksinasi ini adalah satu cara yang penting bagaimana kita hendak menjaga diri dari jangkitan COVID-19,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ) di Kuching pada Sabtu.
Hadir sama dalam lawatan itu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan yang juga Penasihat JPBN Sarawak, Dato’ Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah turut memberitahu, Sarawak telah menerima bekalan vaksin COVID-19 jenis Cansino dan ia telah dihantar ke beberapa tempat di luar bandar bermula sejak 22 September hingga 24 september 2021 di beberapa bahagian supaya ia dapat dirancang untuk digunapakai.
“Misalnya Miri kita membekal untuk kaum Penan di pedalaman. Kita juga akan memutuskan untuk membekalkan untuk bahgaian Limbang. Bahagian-bahagian lain, mereka ada permohonan untuk memintaCansino,”jelas beliau lagi.
Sementara itu, beberapa pelajar SMK Agama TUNAZ ketika ditemui wartawan Unit komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyatakan rasa lega setelah mendapatkan vaksin dan menyeru mereka menyeru yang belum mendapatkan vaksin untuk tampil segera.-EDISI UKAS