Percepatkan Operasi Pembukaan Hospital Sri Aman Baharu: Khairy Jamaluddin

AHAD, 26 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Pembukaan operasi Hospital Sri Aman yang baharu akan dipercepatkan bagi menampung keperluan fasiliti perubatan yang dihadapi Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepatkan proses pembukaan hospital itu dalam memenuhi hasrat kerajaan Sarawak yang mahu hospital berkenaan disegerakan operasinya.

“Saya juga telah meminta pihak Hospital Sri Aman untuk mempercepatkan pembukaan oleh kerana hospital itu sudah siap, namun ada sedikit proses latihan untuk dilaksanakan.

“Mungkin sebahagian daripada hospital ini akan dibuka dahulu supaya dapat meringankan bebanan hospital-hospital yang ada di Kuching,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Umum Sarawak di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menambah rakyat harus bersedia dengan perubahan tingkah laku iaitu rakyat kini seharusnya lebih peka dengan tanda awal jangkitan dengan menjalani ujian calitan kendiri atau merujuk kepada klinik dan tidak menganggap gejala ringan wabak berkenaan tidak memudaratkan.

“Sebelum ini mungkin kita mengalami demam dan gejala ringan namun tidak mendapatkan rujukan daripada mana-mana hospital ataupun fasiliti kesihatan, tetapi saya ingin maklumkan kepada rakyat bahawa sekarang kita hidup dengan COVID-19.

“Oleh demikian, gejala yang ringan tidak dapat dianggap seperti dahulu yang tidak memudaratkan. Ada kemungkinan gejala ringan itu adalah petanda kita dijangkiti COVID-19,” ujar beliau. –EDISI UKAS