Penerbangan Masuk Ke Sarawak Ditingkatkan Daripada 22 kepada 87 Penerbangan Mulai 1 Oktober Ini

SELASA, 28 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memutuskan untuk meningkatkan penerbangan masuk ke Sarawak secara berperingkat berkuatkuasa mulai 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin memaklumkan, 22 penerbangan masuk akan bertambah ke 87 penerbangan setiap minggu.

“Penerbangan ini merangkumi dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Johor Baharu, Kota Baharu, Labuan, dan Singapura menuju ke pelbagai destinasi utama di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.

Jelas Datuk Lee, keputusan tersebut dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor yang meliputi pembukaan sektor pelancongan negeri secara berperingkat dengan mempertimbangkan permintaan orang ramai.

“Kementerian saya mengadakan mesyuarat pada 28 September ini dengan semua pihak berkaitan bagi meneliti perincian mengenai jadual penerbangan baharu bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, semua penumpang diingatkan untuk kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPBNS termasuk prosedur ‘Enter-Sarawak’ bagi mengekang penularan COVID-19. –EDISI UKAS