3 Klinik Kesihatan Bekerjasama Jayakan Program Vaksinasi Remaja 18 Tahun Ke Bawah Di PPV SMK Santubong

RABU, 29 SEPTEMBER 2021

SANTUBONG: Tiga buah Klinik Kesihatan telah bekerjasama dalam menjayakan Program Vaksinasi Remaja 18 Tahun Ke Bawah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong pada Rabu.

Menteri Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, proses vaksinasi ini melibatkan 247 pelajar yang berumur 16 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin dos kedua.

Katanya, selain pelajar SMK Santubong, turut menerima vaksinasi pelajar dari Sekolah Seni Malaysia Sarawak.

“Pemberian dos pertama vaksin COVID-19 telah bermula pada 18 September lepas manakala pemberian vaksin bagi dos kedua pula bermula pada hari ini.

“Proses pemberian vaksin telah dipantau oleh pegawai perubatan serta kakitangan perubatan dari tiga buah klinik iaitu Klinik Kesihatan Santubong, Klinik Kesihatan Buntal dan Klinik Kesihatan Bandar Baru Samariang,“ katanya selepas melawat Proses Vaksinasi Remaja 16 dan 17 Tahun di PPV SMK Santubong pada Rabu.

Jelas Datuk Dr Abdul Rahman lagi, daripada jumlah itu, empat pelajar yang menerima vaksin COVID-19 itu merupakan pelajar tercicir yang tidak lagi bersekolah.

Selain proses vaksinasi biasa turut diadakan pemberian vaksin pandu lalu kepada pelajar yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, turut memaklumkan kerajaan berusaha untuk memastikan semua remaja di bawah usia 18 tahun mendapatkan vaksin COVID-19.

Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diminta  bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk mengenal pasti remaja yang tidak bersekolah menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan berhampiran selepas program vaksinasi di sekolah.

“Ini merupakan satu usaha yang dilakukan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan kerjasama Klinik-klinik Kesihatan, bantuan pihak sekolah dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memastikan bahawa semua remaja di bawah usia 18 tahun mendapat vaksinasi masing-masing,” ujarnya.

Proses vaksinasi tersebut dilaksanakan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat dan hanya membenarkan pelajar yang menerima vaksin masuk ke kawasan sekolah.

Hadir sama Pengetua SMK Santubong, Ismail Ibrahim dan Penyelaras PPV SMK Santubong, Dr Syafiq. -EDISI UKAS