RABU, 29 SEPTEMBER 2021
SELANGAU: Pembangunan sesebuah negara atau negeri memerlukan pembinaan dan penyediaan pelbagai infrastruktur asas yang lengkap.
Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, untuk membangunkan kesemua infrastruktur berkenaan, kerajaan memerlukan tanah.
Menurutnya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa berusaha untuk mencari jalan mendapatkan pendapatan yang lebih kepada Negeri Sarawak bagi merealisasikan usaha Kerajaan melipat gandakan pembangunan infrastruktur, utiliti serta menyediakan prasarana yang lebih baik di kawasan luar bandar.
Tambah beliau, pelbagai projek-projek pembangunan infrastruktur dan utiliti yang telah diluluskan dan sedang dilaksana oleh Kerajaan seperti menaik taraf jalan pesisir, Projek Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road), Jambatan, Loji Rawatan air, Stesen Pencawang Elektrik, menara telekomunikasi yang sudah dibina atau dalam pelaksanaan dan banyak lagi.
“Kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ianya melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur dan utiliti untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna.
“Kerajaan mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah NCR yang sahih mengikut perundangan. Maka, Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada tahun 2010 bagi mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR supaya pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan, persempadanan yang jelas dan tidak akan diceroboh.
“Walaupun tanah seperti yang terlibat dalam pengambilan pada kali ini masih belum disukat dan diwartakan di bawah Seksyen 6, Jabatan Tanah dan Survei tetap akan membayar pampasan JIKA terdapat tuntutan tanah NCR yang sahih. Ini diperuntukkan dibawah Sekyen 5 Kanun Tanah Negeri,” katanya berucap semasa Majlis Simbolik Penyampaian Cek Pampasan Tanah bagi Projek Pan Borneo Highway: Sibu Roundabout Airport to Sungai Pelugau Brigde-Additional Area di Pejabat Daerah Baru Selangau pada Selasa.
Menurutnya, semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Menjelas kepada media selepas program berkenaan, beliau berkata pampasan bernilai RM8,529,883 itu diberikan kepada 58 penduduk dari tiga rumah panjang iaitu Rumah Kunsun Aning, Rumah Emu Gima dan Rumah Anthony Amit Gurum.
Sementara itu, ADUN Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang yang turut hadir dalam program itu mengucapkan terima kasih kepada penduduk rumah panjang kerana bersetuju menerima cadangan dari pihak kerajaan untuk berpindah. – EDISI UKAS