Projek RSP Bakal Bawa Impak Pembangunan Di Igan

RABU, 29 SEPTEMBER 2021

IGAN: Projek Rumah Spektra Permata (RSP) di Igan, Matu bakal membawa impak pembangunan positif di kawasan berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Menurut ADUN Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, kawasan Igan akan mengalami pembangunan yang lebih baik seperti di kawasan lain sejajar dengan perubahan yang dibawa masuk.

Tambahnya, apabila siap semua projek mega seperti jalan pesisir, jambatan-jambatan dan Pan Borneo, soal jarak tidak lagi menjadi masalah untuk menghubungkan semua kawasan di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau telah memohon tambahan sebanyak 100 unit lagi projek RSP kepada Ketua Menteri susulan permintaan dan sambutan begitu menggalakkan dari penduduk setempat.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Rumah Spektra Permata (RSP) Igan, Matu di Dewan Masyarakat Igan pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Dr Juanda memberitahu projek padang bola sepak telah diluluskan oleh Ketua Menteri ketika lawatan beliau ke Igan pada September 2020 bagi menggantikan padang bola yang telah dibina Dewan Igan.

Tambahnya lagi, projek Igan New Township juga telah diluluskan oleh Ketua Menteri dan ianya akan merancakkan aktiviti ekonomi dan memberi impak terhadap cara hidup, perniagaan dan pertambahan kemasukan pengunjung luar.

Dalam majlis itu, seramai 22 penduduk hadir untuk menerima surat tawaran.

Penerima yang ditemui amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri serta turut menghargai usaha yang dilakukan oleh ADUN Jemoreng dalam membawa kemajuan dan suara mereka ke peringkat atasan.

Pada Isnin, seramai 20 penduduk Kampung Tian Matu turut menerima surat tawaran RSP.

Dalam majlis sama, Dato’ Dr Juanda turut menyaksikan penyerahan Dewan Igan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Igan. – EDISI UKAS