Selain Meningkatkan Jumlah Penerbangan, Turut Dibenarkan Jumlah Kapasiti Penumpang 100 Peratus – Datuk Lee

RABU, 29 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bersetuju meneliti jadual penerbangan yang dicadangkan Kementerian Pengangkutan Sarawak mulai 1 Oktober ini. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin menerusi kenyataan media pada Rabu, ini termasuklah mempertimbangkan penerbangan selang 90 minit dari luar Sarawak supaya tidak menyebabkan kesesakan di lapangan terbang. 

“Peningkatan jumlah penerbangan akan dilaksanakan secara beransur-ansur.

“Ini termasuk juga jumlah kapasiti muatan penumpang selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan 100 peratus penumpang mulai 1 Oktober ini. 

“Dengan persetujuan penambahan kapasiti muatan penumpang 100 peratus untuk semua penerbangan dan peningkatan jumlah kelulusan penerbangan mingguan dari 22 hingga 87 secara beransur-ansur, syarikat penerbangan akan dapat menurunkan tambang penerbangan mereka,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MAVCOM bagi membincangkan penyelarasan jadual penerbangan baru ke Sarawak mulai 1 Oktober 2021 pada Selasa. 

Tambah Datuk Lee lagi, cadangan untuk meningkatkan jumlah penerbangan secara beransur-ansur ke Sarawak dibuat atas nasihat Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan JPBN Sarawak dengan pelbagai faktor antaranya ketersediaan penerbangan dari dalam negeri, kadar tambang sehala yang tinggi sehingga mencecah RM1,500 sehala, permintaan sektor pelancongan, permintaan daripada orang ramai dan nasihat pakar perubatan dari JPBN Sarawak. 

Ini disusuli juga dengan pembukaan semula sekolah, kolej dan universiti mulai Oktober 2021. 

Dalam pada itu, Datuk Lee turut memberitahu kemasukan ke Sarawak kini lebih mudah selepas penumpang tidak lagi diwajibkan kuarantin. 

“SOP ‘enter Sarawak’ yang dikeluarkan JPBN Sarawak kini hanya memerlukan dua dos vaksin. 

“Sekiranya penumpang tidak lengkap vaksin dan berasal dari luar negara akan dikenakan kuarantin selama 10 hari di hotel dan pusat kuarantin yang ditetapkan. 

“Berdasarkan peratusan populasi di di Malaysia, 84.4 peratus telah divaksin. Manakala, di Sarawak sehingga 27 September 2021 peratusan orang dewasa yang telah divaksin sepenuhnya telah mencapai 89.4 peratus,” ujarnya. 

Dalam pembukaan dan peningkatan jumlah penerbangan, Kementerian Pengangkutan Sarawak mengingatkan penumpang dan pelancong mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan termasuk prosedur masuk ke Sarawak bagi mengekang penularan COVID-19.

Turut sama dalam mesyuarat itu Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datu Ik Pahon, Pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia – MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kassim, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Sarawak Datu Buckland Bangik, Setiausaha Bahagian Penerbangan, Kementerian Pengangkutan Malaysia Mohammad Radzuan Mazlan dan wakil Pejabat Residen Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).-EDISI UKAS