RABU, 29 SEPTEMBER 2021
KUCHING: Menjelang peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Zon Selatan bermula 1 Oktober ini, Majlis Islam Sarawak (MIS) telah pun mengadakan mesyuarat bagi membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu bagi menunaikan solat fardhu dan Jumaat di masjid dan surau.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SOP PPN Fasa 3 akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkenaan kebenaran membuka kapasiti masjid dan surau mengikuti ruang masjid dan surau.
“Untuk Majlis Islam Sarawak, kita telah bermesyuarat minggu lepas dan akan mengeluarkan SOP terbaharu iaitu setiap masjid dan surau diberi kebenaran untuk membuka masjid dan surau bagi solat berjemaah fardhu dan Jumaat.
“Dengan kata lain, kapasiti jemaah yang diberikan kebenaran solat fardhu dan Jumaat bergantung kepada kapasiti saiz ruang masjid dan surau masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas melawat Proses Vaksinasi Remaja 16 dan 17 Tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong pada Rabu.
Tambahnya lagi, SOP lain masih dikekalkan seperti penjarakan fizikal, mengambil wuduk di rumah masing-masing, membawa sejadah atau alat solat, mendaftar masuk menggunakan MySejahtera dan SOP-SOP yang lain.-EDISI UKAS