ADUN Jemoreng Pengerusikan Tiga Mesyuarat Kemajuan Projek Di Matu

KHAMIS, 30 SEPTEMBER 2021

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya telah mempengerusikan tiga mesyuarat projek bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Matu pada Selasa.

Mesyuarat pertama bagi membincangkan tentang kemajuan projek Masjid Kuala Matu di mana kerja-kerja menembok telah siap pada Mei 2021 dan kini menanti tempoh mendapan tanah sehingga November nanti bagi meneruskan kerja-kerja seterusnya.

Beliau seterusnya membincangkan mengenai pembinaan Surau Taman Sejahtera dan Kampung Berjaya yang kini masih dalam proses perbincangan awal.

Projek itu dijangka bernilai RM500,000 setiap satu dan rekabentuk surau telah dibentangkan kepada JK Pembinaan oleh pihak JKR selaku agensi pelaksana.

Mesyuarat terakhir adalah mengenai projek pembinaan lampu jalan di seluruh Daerah Matu dan Daerah Kecil Igan.

Projek bernilai RM1.15 juta itu bakal merubah suasana malam di kawasan ini dan meningkatkan lagi faktor keselamatan kawasan kampung.

Terdahulu, Dato’ Dr Juanda sempat meluangkan masa menyampaikan peralatan Oxymeter kepada Pejabat Kesihatan Daerah Matu di Klinik Kesihatan Tian untuk kegunaan klinik tersebut.

Selesai mesyuarat, beliau menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKKK Rh Bareng, Bruan Matu (RM3,000), Maksak Daerah Matu (RM5,000), JK Ujian Tilawah Al-Quran Daerah Matu (RM9,000), JK Aktiviti Kemasyarakatan Pejabat Daerah Matu (RM10,000), Kelab RANDO Daerah Matu (RM5,000), Masjid Daerah Matu (RM10,000) dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Matu (RM10,000). – EDISI UKAS