Program Vaksinasi Pelajar 12-15 Tahun Mula Dilaksana Di PPV Dewan Pembangunan Sebuyau

KHAMIS, 30 SEPTEMBER 2021

SEBUYAU: Program vaksinasi bagi pelajar berumur 12 hingga 15 tahun telah mula beroperasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pembangunan Sebangan pada Khamis.

Seramai 900 orang penerima vaksin yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan 20 buah sekolah rendah di kawasan Daerah Kecil Sebuyau  termasuk pelajar yang tidak bersekolah menerima suntikan vaksin dos pertama di PPV pada hari tersebut.

Penyelaras PPV Dewan Pembangunan Sebuyau, Dr. Mohamad Azahari Abdillah memaklumkan seramai 49 guru ditugaskan untuk menyelia pergerakan para pelajar dengan kerjasama petugas kesihatan, Sukarelawan My Vacc dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pelajar  yang hadir telah ditemani oleh ibubapa  atau penjaga masing-masing dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Rata-rata pelajar berasa gembira dan bersyukur kerana telah menerima suntikan vaksin dos pertama serta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas usaha pemberian vaksin kepada golongan remaja. –EDISI UKAS