Program Ziarah UKAS ‘Semarak Kemerdekaan’ 2021 Di Dewan Kampung Darul Huda, Tepoi

KHAMIS, 30 SEPTEMBER 2021

SERIAN: Seramai 47 orang ibu bapa wakil kepada pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tepoi menerima sumbangan bantuan bakul makanan sempena Program Ziarah UKAS ‘Semarak Kemerdekaan’ di Dewan Kampung Darul Huda, Tepoi pada Khamis.

Penyerahan sumbangan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Simon Sinang Bada mewakili Menteri Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Dalam pada itu, Dr Simon Sinang Bada memberitahu, agihan bantuan berkenaan adalah bagi meringankan bebanan keluarga pelajar yang terkesan pendapatan ibu bapa mereka akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya, seluruh warga di Serian yang layak divaksin perlu segera mendapatkan suntikan vaksin masing-masing bagi memastikan mencapai 100 peratus imuniti kelompok.

“Saya juga merakamkan penghargaan juga kepada pihak UKAS kerana bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat atau berita sahih, tetapi turut menyantuni rakyat yang terjejas atau memerlukan ketika berdepan dengan COVID-19,” katanya.

Mengulas mengenai tema program iaitu Semarak Kemerdekaan, beliau memberitahu, terdapat tiga tarikh penting untuk semua rakyat Sarawak ingati.

“Pertamanya, 31 Ogos 1957 (Hari Kebangsaan), 22 Julai 2015 (Hari Sarawak) dan 16 September 1963 ( Hari Malaysia).

“Setiap tahun tiga tarikh ini penting maka dengan itu demi rasa cintakan negeri Sarawak dan negara Malaysia kita harus mengibarkan bendera di rumah kita dan di mana sahaja. Semangat patriotik ini wajib disemaikan dalam kalangan rakyat,” ujarnya. -EDISI UKAS