JUMAAT, 1 OKTOBER 2021
KUCHING: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak telah mengarahkan semua agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak untuk bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut.
Menurut Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman@Hussain, pihaknya telah diarahkan berkolaborasi dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam semua aktiviti termasuk latihan simulasi gerakan bencana.
“Kita telah mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu lepas untuk kita berkolaborasi dengan polis sebagai insiden komander dan kita (Bomba) sebagai kor komander untuk menyelaraskan aktiviti.
“Untuk itu, semua pegawai dan ketua balai serta zon akan berkolaborasi dengan pihak polis bagi menghadapi Monsun Timur Laut ini,” katanya dalam Sidang Media Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut Tahun 2021/22 di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Sarawak pada Jumaat.
Katanya lagi, ini termasuklah penyediaan bekalan makanan kepada mangsa banjir bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya di kawasan hulu dan pedalaman.
Dalam pada itu, Khirudin turut memaklumkan operasi banjir yang telah dilaksanakan pada awal 2021 telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak ada wujudnya kluster-kluster baru COVID-19.
Pada sidang media sama, Pengarah JPBN Sarawak itu turut menjelaskan pihaknya telah memperkemaskan kawasan pendaratan pesawat yang akan digunakan untuk kerja memindah dan menghantar bekalan selain kerja-kerja mencari dan penyelamat (SAR).
Sebanyak 38 kawasan landing point telah dikenal pasti termasuk yang paling jauh di Long Semadoh.
“Pada masa sama kita akan memperkemaskan landing point pesawat kita.
“Kita telah membuat dan menyelenggara landing-landing point seperti memperkemaskan pokok, daun dan kawasan rumah yang berdekatan terutama sekali di kawasan hulu,” ujarnya.
Ini termasuklah kawasan Mulu yang dibantu oleh 10 anggota Mountain Cave Search and Rescue (MOCSAR) yang bertindak menyelenggara 4 landing point di Gunung Mulu.
Ujar Khirudin lagi, semua maklumat berkaitan operasi dan pemantauan banjir boleh didapati dengan mengakses Facebook dan Pusat Gerakan Operasi Bomba.
“Bagi pemantauan banjir dan kawasan, semua maklumat ini kita akan kongsikan bersama dengan masyarakat.
“Mereka boleh mengakses Facebook kita (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak dan juga Pusat Gerakan Operasi untuk memastikan bahawa mereka mendapat maklumat tepat,” ujarnya lagi.
Selepas sidang media itu, Khirudin bersama dengan anggota JBPM Sarawak telah memperagakan peralatan dan kemudahan Bomba yang akan digunakan dalam operasi Monsun Timur Laut pada tahun ini.-EDISI UKAS