Pengeluaran Perintah Kuarantin Dan Pelepasan Kuarantin Kes Positif Dan Kontak Rapat COVID-19 Dilaksanakan Menerusi MySejahtera

JUMAAT, 1 OKTOBER 2021

MIRI: Bermula 1 Oktober 2021, pengeluaran surat perintah kuarantin (Quarantine Order) dan surat pelepasan kuarantin (Release Order) kes positif dan kontak rapat COVID-19 di Bahagian Miri akan dilaksanakan secara digital. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Jumaat berkata ianya dilaksanakan menggunakan aplikasi MySejahtera. 

“Bagi individu yang disahkan positif COVID-19, keputusan sampel individu tersebut akan tertera dalam aplikasi MySejahteranya. 

“Sekiranya keputusan sampel tersebut adalah positif, perintah kuarantin digital yang menyatakan tempoh kuarantin akan tertera dalam aplikasi MySejahtera individu tersebut. 

“Bagi individu yang merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19, individu tersebut perlu mengisytiharkan diri sendiri sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dalam aplikasi MySejahteranya. 

“Selepas menjawab beberapa soalan, individu tersebut akan mendapat makluman status diri sendiri sebagai kontak rapat dan perintah kuarantin digital yang menyatakan tempoh kuarantin akan tertera dalam aplikasi MySejahteranya,” kata kenyataan itu. 

Tambah kenyataan itu lagi, individu yang mendapat perintah kuarantin digital melalui aplikasi MySejahtera diwajibkan untuk menjalani tempoh kuarantin seperti yang dipaparkan.

“Kegagalan individu tersebut untuk kuarantin merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM4,000. 

“Pemantauan secara rawak akan dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa berkenaan pematuhan ini,” tambah kenyataan itu lagi. 

Sehabis tempoh kuarantin seperti yang tertera dalam aplikasi MySejahtera, perintah kuarantin digital individu tersebut akan memaparkan perkataan “Completed” yang menandakan bahawa individu tersebut telah menamatkan tempoh kuarantinnya. 

Sementara itu, bagi individu yang bekerja perintah kuarantin digital boleh digunakan sebagai bukti untuk memaklumkan kepada majikan atau ketua jabatan berkaitan arahan kuarantinnya. 

Paparan cop “Completed” pada perintah kuarantin digital individu tersebut boleh digunakan sebagai bukti untuk memaklumkan kepada majikan atau ketua jabatan berkaitan penamatan arahan kuarantin individu tersebut. 

Surat perintah kuarantin dan surat pelepasan kuarantin kes positif dan kontak rapat COVID-19 tidak lagi akan dicetak dan diberikan kepada individu dalam bentuk kertas. 

Walau bagaimanapun, surat perintah kuarantin akan masih diberikan di kawasan pedalaman yang tiada akses internet/talian telefon. 

Inisiatif pemberian perintah kuarantin digital ini hanya tertumpu kepada kawasan bandar, pekan dan kawasan dengan talian internet dan telefon.-EDISI UKAS