SABTU, 2 OKTOBER 2021
LAYAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu turun padang meninjau pelaksanaan projek, siap dan serah tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar konstituensinya pada Jumaat.
Beliau memulakan lawatannya di Rumah Andoh Chupong, Nanga Graji, Padeh, Betong bagi meninjau projek membina benteng hakisan tanah dan kerja-kerja berkaitan yang menelan kos sebanyak RM700,000.
Seterusnya, Gerald meninjau dua lagi projek siap di Rumah Warrant Betie Uping, Graji Atas, Padeh, Betong.
Projek berkenaan adalah membina benteng penahan tanah susur di Graji Atas, Betong dengan kos RM100,000 dan membina benteng, menyimen jalan dan kerja-kerja berkaitan di kawasan rumah panjang Graji Atas, Betong juga dengan kos sebanyak RM100,000.
Tuai Rumah Warrant Betie yang mewakili para penduduk merakamkan penghargaan kepada pihak ADUN Layar di atas pelaksanaan dua projek RTP tersebut yang telah siap sepenuhnya.
Gerald mengakhiri lawatannya dengan menyaksikan upacara serah tapak projek bina baru jambatan gantung di Rumah Nila Rangae, Lawing, Padeh, Betong yang menelan kos sebanyak RM300,000.
Terdahulu, Gerald sempat meninjau Program Imunisasi Covid-19 Remaja yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Panglima Rentap.
Seramai 272 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun yang kebanyakannya dari SMK St Augustine menerima vaksin dos kedua pada program tersebut.
Beliau kemudiannya menghadiri majlis ringkas penyerahan cek Projek Kecil Luar bandar (MRP) bertempat di Pusat Khidmat DUN Layar kepada Akademi Ngajat Ranyai Gemilang (RG), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perumahan Paya Udak 3, Betong dan Badan Kebajikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong.
Turut disampaikan cek sumbangan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada The Betong Chinese Temple Charitable Trust Board.
Selain itu, dua unit komputer riba turut diserahkan kepada dua pelajar yang baru melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – EDISI UKAS