Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut, JBPM Adakan Program Ujian Perjalanan Kenderaan Marin Serentak Di Seluruh Sarawak

SABTU, 2 OKTOBER 2021

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) Sarawak menggesa mangsa banjir yang diminta berpindah apabila air mula naik ke kawasan masing-masing.

Menurut Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman@Hussain, hanya dengan berpindah segera dan awal boleh menyelamatkan mangsa.

Katanya, ketika ini JBPM Sarawak sedang giat melaksanakan rondaan kawasan dan pemantauan dalam persiapan menghadapi Monsun Timur Laut.

“Pemindahan perlu dibuat segera sebab kita tidak mampu macam kes-kes sebelum ini mangsa membuat pilihan untuk tunggu dulu dan sehingga air sampai ke atap rumah baru nak menjerit minta tolong. 

“Kemungkinan aset kita (Bomba) tidak boleh berada di lokasi dan kelewatan ini boleh menyebabkan kerungutan atau ketidakpuasan hati mereka dan ini kita cuba elakkan,” katanya ketika ditemui media selepas mengetuai anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam Program Ujian Perjalanan Kenderaan Marin JBPM Sarawak di Tebingan Sungai Sarawak pada Sabtu. 

Sebanyak 7 buah bot bersama pegawai-pegawai Bomba telah memperagakan kehebatan masing-masing dalam operasi menyelamat mangsa di Sungai Sarawak. 

Mengulas mengenai Program Ujian Perjalanan Kenderaan Marin JBPM Sarawak ini, Khirudin menjelaskan program yang diadakan hari ini bertujuan mempersiapkan balai dan asset serta mengadakan kajian kawasan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota Bomba secara keseluruhannya. 

Jelas Khirudin lagi, program ini diadakan serentak di seluruh bahagian di Sarawak dalam usaha memperkemas dan mempersiapsiaga anggota Bomba dengan gerak kerja menghadapi Monsun Timur Laut.

“Pada hari ini kita adakan program 3 dalam 1 hari ini, kesiapsiagaan balai, kesiapsiagaan asset kita (Bomba) terutama bot dan enjin, keduanya kajian kawasan dan seterusnya kita mengkaji arus air sungai di seluruh Sarawak. 

“Dalam laporan semalam (Jumaat), persediaan kita bukanlah terlalu ekstrem, tetapi memfokuskan kepada kesiapsiagaan Bomba. 

“Ini disebabkan dalam masa pandemik COVID-19 ini, kita perlu beri perhatian khusus kepada perkara-perkara ini bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku,” jelasnya. 

Sebanyak 37 bot Bomba dan Penyelamat telah bersedia termasuk lori, peralatan serta kemudahan lain dalam keadaan bersedia selain mempersiapkan anggota dengan latihan-latihan asas yang diperlukan.-EDISI UKAS