Lapan Rumah Panjang Di Betong Tamat PKPD

AHAD, 3 OKTOBER 2021

BETONG: Sebanyak lapan buah rumah panjang di Daerah Betong telah ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 1 Oktober lepas. 

Pejabat Kesihatan Betong dijadualkan untuk menghantar dan menyerahkan Surat Arahan Pelepasan Kuarantin ke setiap rumah panjang terbabit pada Sabtu. 

Namun, pihak mereka seringkali menghadapi kekangan tenaga kerja dan juga logistik di dalam urusan penghantaran dokumen tersebut. 

Sehubungan itu, mereka amat mengalu-alukan bantuan dari agensi-agensi lain sekirannya mempunyai kapasiti dan masa. 

Dalam pada itu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong berkesempatan membantu menyediakan pengangkutan bagi penghantaran Surat Arahan Pelepasan Kuarantin tersebut.

Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Arsyad Mohd Jaafar, yang turut sama dalam penghantaran Surat tersebut  ke setiap 8 rumah panjang panjang yang terbabit. 

Antara rumah panjang tersebut adalah Rumah Bantan, Sungai Langit, Layar, Betong (116 orang),  Rumah Aji, Kusing Asal, Layar, Betong (15 orang), Rumah Lawrence Ludan, Luban Ulu, Spaoh (165 orang), Rumah Stephen Lambor, Jerai, Debak (143 orang) dan Rumah Edmund Guting, Sengalang, Debak (102 orang). 

Selain itu, Rumah Gara, Belassau, Debak (47 orang), Rumah Pagu, Merengang, Debak (59 orang) dan Rumah Collin Amban dan Bengang, Betong (53 orang) juga antara yang diarahkan penamatan PKPD. – EDISI UKAS