892 Pelajar SMK Muara Tuang Terima Suntikan Vaksin Dos Pertama Di PPV SK Agama Ibnu Khaldun

ISNIN, 4 OKTOBER 2021

SAMARAHAN: Seramai 892 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun pada Isnin.

Penyelaras PPV SK Agama Ibnu Khaldun, Dr. Noryatini Merali memaklumkan program vaksinasi bagi pelajar berumur 12 hingga 15 tersebut beroperasi selama dua hari yang bermula pada 4 Oktober hingga 5 Oktober ini.

“Program vaksinasi berlangsung pada hari ini (Isnin) melibatkan 892 pelajar dari SMK Muara Tuang yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer.

“Untuk keesokan hari (Selasa), dianggarkan lebih 700 orang pelajar yang akan terlibat dengan program vaksinasi melibatkan pelajar SMK Muara Tuang termasuk beberapa sekolah rendah yang lain.

“Seramai 50 petugas melibatkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Samarahan dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan guru sekolah ditugaskan untuk menyelia pergerakan para pelajar,” katanya.

Tambah Dr. Noryatini, kehadiran ibu bapa yang menemani anak mereka menunjukkan tahap sokongan yang tinggi bagi menjayakan program vaksinasi.

Rata-rata pelajar yang ditemui berasa bersyukur dan gembira kerana telah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama dan turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas usaha pemberian vaksin kepada golongan remaja. –EDISI UKAS