Abdullah Serah Dua Tapak Projek RTP, Satu Projek Siap Dalam Lawatan Kerja Di Semop

ISNIN, 4 OKTOBER 2021

DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Pulau Bruit pada Isnin.

Dalam lawatan itu, beliau yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS telah menyerahkan dua tapak projek dan satu projek siap RTP DUN Semop.

Dua tapak projek yang diserahkan adalah Naiktaraf Jalan Utama Kampung Penibong, Daerah Daro dengan kos RM150,000 dan Naiktaraf Jalan Dalam Kampung Betanak, Daerah Daro dengan kos RM300,000.

Manakala projek siap melibatkan Bina Baru Jambatan Dalam Kampung Penipah dengan kos RM266,478.

“Keseluruhan kos tiga projek ini adalah RM716,478. Dalam masa yang sama, kita menerima permohonan yang baru daripada beberapa pemimpin kampung,” katanya kepada UKAS semasa lawatan.

Menurut Abdullah, beliau amat menghargai keprihatinan dan kebimbangan pemimpin kampung terhadap mutu projek saliran yang tidak dilaksanakan dengan baik.

Katanya, projek tersebut melibatkan kepentingan 300 keluarga yang bersawah dan berkebun di Kampung Bruit.

“Saya dimaklumkan projek ini sepatutnya siap setahun lepas namun memandangkan ada beberapa keluhan dan kebimbangan dari penduduk kampung mengatakan projek ini tidak dilakukan dengan baik, maka kami hari ini melawat semula ke tapak projek DID di Kampung Bruit untuk melihat sendiri apakah yang menjadi masalah kepada projek yang mereka anggap sebagai tidak memuaskan.

“Adalah menjadi harapan saya supaya kepekaan pemimpin kampung terhadap projek yang dilaksanakan ini amat dihargai.

“Input daripada mereka untuk mempastikan projek dilaksanakan dengan baik supaya usaha kerajaan untuk mensejahterakan kawasan desa dengan projek-projek kecil sederhana ini dapat dilaksanakan mengikut kehendak dan keperluan masyarakat kampung itu sendiri,” katanya.

Beliau juga sempat meninjau pembinaan Projek Pintu Air Jabatan Pengairan dan Saliran di Kampung Bruit yang menelan kos RM567,600 dan meninjau permohonan Warga SK Kampung Penipah untuk membina tempat parkir bagi kemudahan pelajar, ibu bapa dan guru. – EDISI UKAS