Kerajaan Perkenal Pelbagai Inisiatif Untuk Bantu Rakyat: Dato Sri Fatimah

ISNIN, 4 OKTOBER 2021

SARIKEI: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) sentiasa komited dalam memastikan semua rakyat negeri ini yang memerlukan tidak terlepas dari menikmati pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata melalui jerayawara Taklimat Inisiatif Kerajaan, mereka berpeluang untuk mendekati rakyat khususnya di luar bandar bagi menerangkan pelbagai inisiatif mahupun bantuan yang disediakan pihaknya termasuk dari Kerajaan pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, penglibatan wakil rakyat serta pemimpin peringkat akar umbi dalam jerayawara berkenaan akan menjadi pemudahcara dalam menyampaikan maklumat berkenaan inisiatif dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat.

“Dalam rekod kita yang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan di bawah pelbagai skim adalah kira-kira lebih 50,000 orang sahaja.

“Kita pasti disebabkan pandemik ini rakyat yang memerlukan bantuan adalah lebih tinggi dari yang sekarang.

“Jadi dengan adanya jerayawara seperti ini, dengan adanya orang berpengaruh dalam masyarakat terdiri daripada wakil rakyat, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum akan dapat menyampaikan maklumat yang telah kita berikan semasa program seperti ini supaya mereka menjadi bukan sahaja penyampai maklumat malah pemudahcara untuk yang memerlukan bantuan atau memohon bantuan di Jabatan Kebajikan atau melalui kementerian kita.”

Beliau berkata demikian kepada media semasa merasmikan Taklimat Inisiatif Kerajaan yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, Sarikei pada Isnin.

Menurutnya, melalui jerayawara berkenaan, pihaknya juga berpeluang menjelaskan pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Sarawak.

Antara inisiatif tersebut ialah Kenyalang Gold Card (KGC), Endowment Fund Sarawak (EPS), Bantuan Ibu Bersalin (BTB), Geran Tahunan Khas (GTK), Geran Pelancaran, Bantuan Ihsan Kematian (BIK), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Rakan Strategik KGC, Kad OKU dan Bakul Prihatin Negara.

Sementara itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh amat berterima kasih kepada Dato Sri Fatimah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atas kesudian datang ke Sarikei untuk menerangkan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat.

Beliau juga berharap rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus menerajui Kerajaan Sarawak.

Hadir sama ADUN Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, Pengarah Jabatan Kebajikan dan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Abang Porkan Abang Budiman dan Temenggong Awangku Ibrahim Awangku Hosain. – EDISI UKAS