ISNIN, 4 OKTOBER 2021
KUCHING: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ketiga seorang mangsa bot karam dan pencarian sebuah bot bersama 5 pemancing serta tekong diteruskan seawal jam 7:22 pagi Isnin.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak pada Isnin, seramai 6 pengawal bersama aset Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) keluar dari jeti Telaga Air menuju ke sektor pencarian di Perairan Satang.
“Operasi SAR terbahagi kepada beberapa sektor. Bot Penyelamat Balai Bomba (BBP) Petra Jaya telah membuat pencarian di Persisir Pantai Telaga Air sehingga ke Sempadi seterusnya ke Pulau Satang.
“Bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) membuat pencarian di kawasan berbatu Pulau Satang.
“Manakala. PA 1 dan PSC 4 pula melakukan pencarian di sektor Tanjung Datu, Talang-Talang, Sempadi dan Satang sehingga ke Tanjung Sipang,” katanya.
Pencarian turut melibatkan aset udara Air King dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang telah melakukan penerbangan ke beberapa sektor pencarian kawasan SAR.
Turut serta sebuah bot pemancing bersama 4 orang keluarga mangsa melakukan pencarian di kawasan berbatu di Pulau Satang pada jam 10:00 pagi.
Pada Sabtu, 9 daripada 10 orang pemancing berserta tekong hilang di perairan Pulau Satang dan berjaya ditemui pada awal pagi Ahad oleh nelayan.
Seorang lagi, pembantu tekong yang dikenali Awang Omar Awang Hamsawi masih lagi hilang.
Sementara, pada Ahad sebuah bot bersama 5 pemancing dan tekong turut didapati hilang. -EDISI UKAS