70 KMKK Sertai Taklimat Projek Jalan Pasi-Tanjong Manis, Jambatan Batang Rajang

SELASA, 5 OKTOBER 2021

SARIKEI: Seramai 70 Ketua Masyarakat & Ketua Kaum (KMKK) dan Tuai-tuai Rumah di Zon Sarikei menghadiri sesi taklimat perkembangan terkini status projek Jalan Pasi-Tanjong Manis dan Jambatan Batang Rajang yang diadakan di Sarikei Inovation Center (SIC) pada Selasa.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, taklimat itu dikhususkan untuk KMKK supaya mereka dapat berkongsi maklumat terkini mengenai projek berkenaan kepada warga di kawasan masing-masing.

Katanya, rakyat harus diberitahu tentang semua projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana penyediaan infrastruktur yang baik dan lengkap menjadi prasyarat untuk membangunkan ekonomi dan sosial masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Tapak Projek Jalan Pasi-Tanjung Manis & Jambatan Batang Rajang pada Selasa.

Terdahulu dalam ucapan amanat beliau, Datu Len yang juga ADUN Kuala Rajang mahu melihat kerja-kerja projek rakyat ini sentiasa berjalan meskipun berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, selain projek Jalan Pasi-Tanjung Manis, projek lain yang akan dilaksanakan ialah projek Jalan Selalang-Sare yang sudah diluluskan peruntukan bagi kerja-kerja awal mengenalpasti laluan dan menyediakan perkhidmatan feri bagi jalan menghubungkan Tanah Putih ke Parit Bugis dan seterusnya bersambung ke Muara Payang di bawah agensi Jabatan Saliran dan Pengairan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengulas lanjut, Datu Len juga berharap dengan siapnya jalan itu kelak akan turut memberi impak pembangunan kepada kawasan Bintangor.

Projek bernilai RM331,377,700 juta yang bermula pada 2019 dan dijadualkan siap pada 2023 cukup penting dalam memastikan pembangunan berterusan terutamanya di wilayah tengah Sarawak.

Sebelum ini taklimat yang sama juga telah diadakan pada Ogos bagi Zon Tanjung Manis.

Taklimat telah disampaikan oleh Superintending Officer Representative (PMR) JKRS (CSTRU), Construction Manager, Mohd Hishamudin Adzhari. – EDISI UKAS