Kuching Smart City Master Plan Bakal Pacu Ekonomi Sarawak

SELASA, 5 OKTOBER 2021

KUCHING: Kuching Smart City Master Plan bakal memacu pembangunan ekonomi di Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau yakin bahawa Kuching Smart City Master Plan akan memacu lebih banyak pembangunan ekonomi, mewujudkan persekitaran yang mesra alam dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat di Sarawak menjelang 2030.

“Perkara ini telah dilaksanakan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang telah bekerjasama dengan rakyat dan mereka telah mendapatkan penyelesaiannya.

“Saya juga berharap Kuching Smart City Masterplan ini akan dapat memacu pembangunan ekonomi dan juga menambah baik perkhidmatan yang akan diberikan kepada rakyat,” katanya semasa berucap dalam pelancaran Kuching Smart City Master Plan di Wisma Bapa Petra Jaya di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain bandaraya Kuching, pelan induk itu juga akan meliputi kawasan perbandaran Padawan dan Samarahan oleh kerana kawasan-kawasan itu akan dihubungkan dengan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) pada masa akan datang.

“Dengan kata lain, semua bidang ini akan diintegrasikan pada masa akan datang dan sebaik sahaja ia dilaksanakan, pelabur asing dan pelaburan antarabangsa juga akan datang,” ujar beliau.

Tambah Ketua Menteri, seterusnya, Bintulu akan menjadi bandar pintar untuk kemudahan orang ramai dari segi mobiliti dan menghubungkan mereka dengan rangkaian pintar.

Dalam majlis yang sama, beliau juga menyaksikan Majlis Menandatangani Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Huawei Malaysia bersama SMA, Sarawak Digital Economic Corporation (SDEC), Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), dan Centre of Technical Excellence (CENTEX).

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Ahli Lembaga Pengarah SMA Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi Razak. -EDISI UKAS