SUPP Cawangan Bukit Assek Hulur Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran

SELASA, 5 OKTOBER 2021

SIBU: Mangsa kebakaran di Jalan Sentosa, Sibu terus mendapat simpati dari pelbagai pihak.

Pada Isnin, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek turun padang untuk menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa.

Agihan diketuai Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon dan dibantu Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bukit Assek Kaunselor Joseph Chieng Jin Ek serta jentera parti SUPP.

Sebelumnya, Jabatan Kebajikan Sibu juga telah menghulurkan bantuan awal kepada mangsa.

Kejadian berlaku pada Ahad sekitar jam 8.45 malam itu meranapkan sepenuhnya sebuah rumah kayu persendirian dua tingkat dan tiga unit rumah sewa.

Ia membabitkan seramai 26 mangsa termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU) dari empat ketua isi rumah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – EDISI UKAS