Program Kepolisan Komuniti Perkasa Kesedaran Awam Perangi COVID-19

RABU, 6 OKTOBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Program Kepolisan Komuniti merupakan antara satu platform bagi memperkasakan kesedaran awam mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi wabak COVID-19.

Program Kepolisan Komuniti anjuran Pejabat Daerah Samarahan itu bertujuan untuk mempersiapkan semua pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi dengan ilmu dan kemahiran dalam memainkan peranan yang lebih berkesan.

Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu berkata, ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam kalangan penduduk menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 ditambah dengan penularan varian Delta yang lebih mudah merebak.

Menurut beliau, penduduk perlu sentiasa mempunyai kekuatan untuk mengawal diri sendiri dalam mematuhi setiap arahan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 antara penduduk kerana banyak kes kluster terjadi biasanya disebabkan selepas adanya pengebumian dan perkahwinan.

“Penduduk juga perlu membudayakan norma baharu dan terapkan dalam diri dalam kehidupan agar jumlah kes positif COVID-19 dapat dikurangkan.

“Justeru, saya berharap KMKK di kawasan DUN Muara Tuang dapat meningkatkan kesedaran dan membuat publisiti mengenai bahayanya COVID-19 kepada penduduk dalam melaksanakan pematuhan SOP yang harus dibudayakan dalam kehidupan norma baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kepolisan Komuniti Peringkat Daerah Samarahan 2021 DUN Muara Tuang bagi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang.

Program Kepolisan Komuniti merupakan satu cara perkongsian maklumat dan teknik penyelesaian masalah yang bersistematik dengan objektif utamanya adalah secara proaktif membuat tindakan segera atas isu-isu yang berkaitan dengan jenayah, penyakit berjangkit, wabak, dadah dan ketenteraman awam.

Antara pengisian program adalah Taklimat Pengenalan Program oleh Pejabat Daerah Samarahan, Mengikut SOP Menangani COVID-19 oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Samarahan, Penyakit Berjangkit (Jangkitan Rabies Dan Penyakit Virus Babi) oleh Jabatan Veterinar Sarawak, Dadah Perosak, Pembunuh Nusa Dan Bangsa oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Samarahan dan Perkongsian Pengalaman Biro Keselamatan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) Dalam Mengawal Penularan Jangkitan COVID-19 Di Kawasan Kampung oleh Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Mata.

Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kepolisan Komuniti Peringkat Daerah Samarahan, Anuar Da’an, wakil Ketua Polis Daerah Samarahan, ASP Austin Patrick Angkon, wakil Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR), Abu Bakar Sham Jamil dan Setiausaha Kelab Ketua Masyarakat Ketua Kaum Daerah Samarahan, Elen Mustapha. -EDISI UKAS