Betong Terima Tiga Lagi Projek RTP

RABU, 6 OKTOBER 2021

BETONG: Sebanyak tiga lagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM450,000 akan dilaksanakan di Betong.

Dua projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah peruntukan ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas iaitu Menaiktaraf Prasarana Rumah Panjang Linsum, Layar, Betong dengan kos sebanyak RM100,000 dan Menaiktaraf Parit Konkrit Di Sekeliling Padang Bola Sepak SK St John, Nanga Tiga, Layar dengan kos sebanyak RM150,000.

Projek ketiga pula dilaksanakan di bawah peruntukan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat iaitu Menaiktaraf Dan Baikpulih Padang Futsal di Pelikoi, Layar, Betong yang menelan kos sebanyak RM200,000.

Pada Selasa telah diadakan penyerahan ketiga-tiga tapak projek dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong kepada kontraktor-kontraktor yang telah dilantik.

Wakil para penduduk dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang telah menunaikan perancangan projek RTP di kawasan itu khususnya dalam memberi kemudahan kepada para belia setempat untuk beriadah dan bersukan. – EDISI UKAS