Operasi CARILAMAT Bot Karam: Mangsa Terakhir Dijumpai Di 3.7 Batu Nautika Dari Bot Okinawa

RABU, 6 OKTOBER 2021

KUCHING: Operasi  CARILAMAT Bot Karam yang memasuki hari ke 5 telah menemui mayat Awang Omar Awang Hamsawi, 59 tahun, mangsa terakhir tragedi bot karam. 

Menurut Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus, mayat tersebut dijumpai pada jarak 3.7 batu nautika utara dari bot tersebut karam. 

“Pada jam 4.22 petang tadi MRSC Kuching telah menerima panggilan dari salah sebuah bot pemancing yang melakukan pencarian memaklumkan menemui satu objek terapung di atas permukaan air dan disyaki mayat pada jarak 3.7 batu nautika utara dari bot tersebut karam. 

“Mayat tersebut seterusnya dibawa oleh pasukan penyelamat ke jeti dan diserahkan pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. 

“Pengesahan mayat telah dilakukan oleh pasukan Forensik PDRM bersama waris di Hospital Umum Sarawak dan turut telah menemukan kad identiti pada mangsa,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.  

Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan semoga segala urusan dipermudahkan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam operasi CARILAMAT ini, petugas dari pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti maritim tempatan. 

Sementara itu, jenazah Awang Omar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panglima Seman malam ini selepas semua urusan di Hospital Umum Sarawak selesai.

Pada 2 Oktober lepas, sebuah bot yang membawa 10 pemancing bersama tekong karam di perairan Pulau Satang Besar akibat ombak besar. 

Sebaik menerima laporan, Maritim Malaysia telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Center (MRSC) bersama agensi-agensi lain-EDISI UKAS