ICOSSH 2021 Dianjur Pada 27 Oktober Ini

JUMAAT, 8 OKTOBER 2021

KUCHING :  Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu Sarawak bersama Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak akan menganjurkan International Conference on Social Sciences & Humanities (ICOSSH) 2021 pada 27 Oktober ini. 

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, ICOSSH itu akan diadakan di Hotel Grand Margherita. 

Beliau memberitahu, ICOSSH akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Katanya, ICOSSH 2021 merupakan kesinambungan daripada ICOSSH 2019 yang telah berjaya menghimpunkan para penyelidik daripada dalam dan luar negara. 

“Pada tahun 2021 ini, ICOSSH edisi kedua menggunakan dua pendekatan pembentangan iaitu secara bersemuka dan secara atas talian yang melibatkan 50 pembentang kertas kerja yang terdiri daripada Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina,” jelas beliau dalam sidang media di Kuching pada Jumaat. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu persidangan ini akan menumpukan kepada bidang sains sosial dan kemanusiaan terutamanya berkaitan tentang etnik Sarawak dan Borneo. 

“Kemuncak persidangan ICOSSH 2021 tersebut adalah majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dengan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak melalui penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem (Kursi Tok Nan) dengan dana permulaan bernilai RM2.542 juta selama 3 tahun,” jelasnya lagi. 

Sehubungan itu, Kursi Pehin Sri Adenan Satem ini akan diketuai oleh pakar dalam bidang antropologi di UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman. – EDISI UKAS