UNIFOR Serah RM3.189 Juta Lagi Kepada 14 Penerima

JUMAAT, 8 OKTOBER 2021

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sekali lagi menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.189 juta kepada 14 rumah ibadat bukan Islam pada Jumaat.

Peruntukan tersebut diserahkan Timbalan Ketua Menteri merangkap menteri bertanggungjawab ke atas UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabat beliau di Kuching.

Antara wakil penerima terdiri daripada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Pada Khamis, peruntukan sama turut diserahkan kepada lapan penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.02 juta.

Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada UNIFOR pada tahun ini.

Peruntukan adalah bagi membantu penerima menaiktaraf dan membaiki infrastruktur di rumah ibadat masing-masing. -EDISI UKAS