Kerajaan GPS Sentiasa Mencari Jalan Bantu Rakyat Luar Bandar

AHAD, 10 OKTOBER 2021

BETONG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat khasnya masyarakat di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bantuan baja kelapa sawit dan baja lada adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk membantu para pekebun yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian.

Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Bukit Saban menyarankan para tuai rumah atau ketua kampung agar sentiasa mengemaskini senarai penerima yang layak agar tidak ada yang tertinggal daripada menerima bantuan.

Bercakap dalam upacara simbolik penyerahan bantuan baja kelapa sawit dan baja lada bagi kawasan DUN Bukit Saban pada Ahad, beliau menambah ruang ini turut digunakan untuk membincangkan permasalahan yang timbul khususnya berkaitan dengan mekanisme penyaluran bantuan seumpama ini.

Sementara itu, Jabatan Pertanian Bahagian Betong memaklumkan seramai 139 pekebun kelapa sawit dan 216 pekebun lada disenaraikan sebagai penerima bantuan dari kawasan DUN Bukit Saban bagi fasa 1 tahun 2021.

Simbolik penyerahan pada Ahad dihadiri oleh kira-kira 40 penerima dengan bantuan baja akan mula diagihkan tidak lama lagi.

Ianya akan diteruskan ke fasa 2 dan berikutnya sehingga semua penerima yang disasarkan selesai menerima bantuan. – EDISI UKAS