Kebenaran Rentas Negeri Tanpa Perlu Permit Polis Berkuatkuasa 11 Oktober 2021

AHAD, 10 OKTOBER 2021

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula esok, 11 Oktober 2021.

Jelas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di sidang media khas pada Ahad.

Walaubagaimanapun, rakyat diminta untuk tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

“Saya tahu, rentas negeri dibenarkan, ramai yang ingin pulang ke kampung bertemu ibubapa, tetapi kita lah yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan kita di kampung.

“Jadi, kawalan kendiri perlu dilaksanakan,sebagai contoh,jika kita mempunyai simptom bergejala seperti demam selesema batuk dan sebagainya, adalah lebih baik menangguhkan dulu kepulangan untuk bertemu keluarga  dan syarat kedua adalah bagi yang mempunyai dua dos vaksin, mereka yang tidak mempunyai dua dos vaksin ataupun yang langsung tidak mengambil vaksin, tidak dibenarkan” jelasnya lagi.

Dato’ Sri Ismail turut menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, kerajaan juga turut bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #mytravelpass Jabatan Imigresen malaysia (JIM).

“Walaupun kita membenarkan rakyat kita bebas ke luar negara, dengan syarat dua dos vaksin, tetapi apabila mereka pulang ke tanah air, mereka perlu menjalani kuarantin seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan setakat yang kita putuskan iaitu 14 hari jika pergi melancong dan sebagainya”-EDISI UKAS