Rebut Peluang Lanjut Pengajian Ke Peringkat Lebih Tinggi Demi Masa Depan Lebih Baik

ISNIN, 11 OKTOBER 2021

LIMBANG: Pelajar di Daerah Limbang digalakkan merebut peluang dan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi demi masa depan diri dan keluarga. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, hanya dengan pendidikan sahaja yang boleh mengubah kehidupan menjadi lebih baik. 

“Tahniah dan syabas kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 

“Belajarlah bersungguh-sungguh demi kecemerlangan dan masa depan lebih baik,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan Kepada Pelajar Tahun 2021 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukid Saroang pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau menerusi Pusat Khidmat DUN Batu Danau turut sama menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, diploma dan sijil. 

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Bukid Saroang Ketua Kampung Kebil Bakal merakamkan terima kasih kepada ADUN Batu Danau di atas projek pembangunan yang diberikan kepada kampung ini.

“Terima kasih kepada ADUN Bukit Danau di atas agihan projek-projek pembangunan dan keprihatinan terhadap kebajikan serta keperluan penduduk kampung,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan kepada Paulus untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang. 

Pada majlis itu, Paulus telah menyantuni dua warga emas yang uzur dengan menyerahkan bantuan kerusi roda dan merasmikan Pejabat Ketua Kampung Bukid Saraong. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Bisaya Limbang Pemanca Jun Sillah dan Pegawai Khas kepada ADUN Batu Danau Kaunselor Addison Langgar Injan.-EDISI UKAS