TYT Serah Sumbangan Kepada 12 Institusi Kebajikan

AHAD, 10 OKTOBER 2021

KUCHING : Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-85 diteruskan lagi dengan Majlis Jamuan Teh di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Ahad.

Majlis disempurnakan dengan persembahan tarian gabungan daripada pelbagai etnik yang melambangkan budaya pelbagai kaum di Sarawak serta persembahan nyanyian artis tempatan daripada Majlis Seni Sarawak dan seterusnya persembahan koir remaja daripada Prodigy.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib, turut menyampaikan sumbangan berjumlah keseluruhan Rm240,000 kepada institusi-institusi kebajikan oleh Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak bagi menjalankan aktiviti bersama para penghuni institusi.

Antara penerima sumbangan berjumlah Rm30,000 ialah Ahli Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Kuching dan Ahli Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Sibu.

Manakala, Ahli Lembaga Pelawat Pusat Pemulihan Samarahan, Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti Kuching, Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti (P) Miri, Ahli Lembaga Pelawat Taman Seri Puteri Kuching, Ahli Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman, Ahli Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, Ahli Lembaga Pelawat Desa Bina Diri Kuching dan Bengkel Seri Sarawak masing-masing menerima sumbangan berjumlah Rm20,000.

Seterusnya, Asrama Akhlak (L) Kuching serta Asrama Akhlak (P) Kuching pula masing-masing menerima Rm10,000.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, serta Menteri Muda Pendidikan Sains Dan Penyelidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab Perayaan Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama,Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee.-EDISI UKAS