Ahli Parlimen Kota Samarahan Serah Geran Kepada 40 JKKK

SELASA, 12 OKTOBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang menyerahkan geran peruntukan kepada 40 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Samarahan, pada Isnin.

Antara JKKK yang terlibat termasuk dari Daerah Serian iaitu kawasan Ladang Samarahan, Ensengei dan Semeran termasuklah Jawatankuasa Kemajuan dan JKKK dari kawasan Padawan, Kuching.

Semasa menyerahkan geran peruntukan tersebut, Rubiah Wang menyatakan bahawa komitmen untuk membantu rakyat dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 perlu dipikul bersama oleh ketua-ketua masyarakat termasuk ketua-ketua kaum.

Tambahnya lagi, JKKK harus berperanan lebih proaktif dengan menggunakan segala keupayaan yang ada untuk memastikan kebajikan masyarakat di dalam pentadbiran masing-masing pada tahap yang baik.

Rubiah Wang turut menambah bahawa walaupun negara di dalam fasa pemulihan dan ke arah era endemik namun kita tidak boleh leka dan hendaklah terus mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan khususnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pihak berkuasa yang lain.-EDISI UKAS