SELASA, 12 OKTOBER 2021
SIMUNJAN: Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu dibuka di Dewan Mesra Simunjan dan dijangka mula beroperasi pada 13 Oktober 2021.
Jabatan Kesihatan, Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan telah membuat keputusan untuk menambah satu lagi PKRC iaitu PKRC di Dewan Mesra Simunjan bermula pada Rabu.
PKRC Dewan Mesra Simunjan itu boleh memuatkan 100 katil dan pusat berkenaan mempunyai kemudahan sesuai untuk pesakit serta petugas.
Pembukaan PKRC baharu tersebut bukan bermaksud situasi COVID-19 di Daerah Simunjan semakin teruk sebaliknya ia dibuka bagi menampung keperluan-keperluan yang tidak mencukupi di Samarahan dan Kuching.
Apabila PKRC itu dibuka kelak, kira-kira 100 orang individu yang didapati positif COVID-19 akan ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan.
Hasil tinjauan mendapati pihak KKM sedang bertungkus lumus untuk persiapan PKRC tersebut dan difahamkan PKRC ini hanya untuk pesakit COVID-19 bagi tahap 1 hingga 4 sahaja. -EDISI UKAS