ADUN Samariang Turun Padang Serah Cek RM250,000 Kepada Gereja St Paul Siol Kandis

RABU, 13 OKTOBER 2021

KUCHING: Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan Dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali turun padang bagi menyerahkan cek RM250,000 kepada Gereja St Paul Siol Kandis pada Rabu.

Penyerahan cek menerusi peruntukan Rumah Ibadah Agama-Agama Lain Tahun 2021 tersebut disampaikan kepada Naib Pengerusi Pengurusan Gereja St Paul Siol Kandis, Geoffrey Mamat.

Beliau yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang memaklumkan, kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan memperuntukkan geran menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kita dalam memberikan peruntukan menerusi UNIFOR kepada gereja-gereja termasuk rumah ibadah yang lain.

“Kerajaan negeri amat menitik beratkan keharmonian kita sebagai satu keluarga besar tanpa mengira agama dan patut kita pertahankan sampai bila-bila,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Sharifah turut memberitahu peruntukan bagi menambah baik tempat letak kereta dan penambahan keperluan gereja telah diluluskan bagi keselesaan dan kesejahteraan pihak gereja St. Paul Siol Kandis. –EDISI UKAS